Wednesday, September 29, 2010

Di manakah mereka..?..

Hari ni dah 20 syawal 1431H. Dah 20 hari Ramadhan meninggalkan kita. Sedih di hati masih lagi terasa bila terkenangkan Ramadhan yang lepas. Masjid-masjid dan surau-surau dah mula kembali macam jemaah yang dulu. Entah ke mana perginya jemaah yang dulunya ramai sekali di bulan Ramadhan.

Aku masih ingat lagi pada Ramadhan yang lepas, surau dekat dengan rumah aku tu, berderet-deret kereta para jemaah yang parking. Terdetik jugak di hati aku, dari mana datang orang yang ramai-ramai tiba-tiba nih? Namun aku bersyukur dan berdoa, agar keadaan ini berterusan juga pada bulan-bulan yang akan datang.

Begitu juga dengan jemaah di masjid. Jikalau pada Ramadhan yang lepas, aku sering kena parking luar kerana jemaah terlalu ramai. Satu kereta sampai 4-5 orang penumpang. Hinggakan pentadbiran masjid bertungkus-lumus untuk menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menampung keselesaan jemaah yang ramai. Sekarang ni parking kereta dah kosong.

Waktu subuh pada Ramadhan yang lepas, penuh dengan jemaah yang hadir. Kuliah subuh pun penuh dengan orang. Kini kuliah subuh hanya tinggal para jemaah yang biasa hadir sahaja. Itu pun boleh kira dengan jari.

Begitu juga dengan kuliah-kuliah ilmu di waktu yang lain. Terutamanya kuliah maghrib. Tiada lagi jemaah yang ramai seperti di bulan Ramadhan.

Terdetik juga dalam hati. Mana perginya jemaah yang dulu begitu ramai? Tiba-tiba menghilang. Misteri kehilangan jemaah amat susah untuk difahami. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Diri aku cuba untuk menjawabnya :-

1) Mungkin mereka sibuk.
2) Mungkin mereka ada urusan penting yang perlu diselesaikan.
3) Mungkin mereka ada halangan-halangan lain yang perlu diatasi.
4) Allah yang Maha Mengetahui.

Masjid dan surau yang begitu selesa. Masuk surau pun tak perlu satu sen pun bayaran. Hanya sedekah ikhlas yang diharapkan. Sedangkan pawagam-pawagam, konsert-konsert (AF dan sebagainya) penuh dengan manusia. Terutamanya saudara kita se-Islam.

Di hati aku kadangkala merasa sedikit gerun. Apakah yang akan aku jawab di hadapan Allah nanti jika Allah bertanyakan kepada aku, Apakah yang aku telah buat untuk mengajak manusia memakmurkan rumah-rumah Allah? Tiada jawapan yang mampu aku fikirkan. Mudah-mudahan Allah mengampuni diriku yang kerdil ini.

Mungkin itulah kehebatan bulan Ramadhan. Yang mana manusia beroleh kekuatan untuk beribadah kepada Allah. Dalam apa jua situasi.

Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan untuk bermujahadah dalam beribadat kepada-Nya. Amin...Insya Allah..


Monday, September 20, 2010

Hanya kepada Allah tempat aku mengadu

Dulu mak ceria, senang dibawa berbicara.
Senyuman mak menenangkan minda, mententeramkan jiwa.
Masakan-masakan mak,
laksana chef terhebat di dunia.
Nasihat-nasihat mak ibarat pembakar semangat
agar sentiasa membara

Dulu mak lah yang paling kuat,
Ajak mak jalan ke sana ke sini, ok aje....
Bila nak pi, Mak kata kalau tak ikut pi, rugi lah

Mencabut rambut mak tanpa kebenaran pun aku tak berani
Kerana tinggi nya martabat insan bergelar ibu
Tapi, 16hb Ogos 2010,
Ada tangan celaka lagi berdosa,
Tubuh mak rebah ke bumi, hanya kerana seutas beg tangan
Hancur remuk hati aku melihat mak diperlakukan begitu
Lebam-lebam di tangan dan lutut mak,
Ibarat patahnya tangan dan kaki aku
Tak mampu aku berkata-kata
Hanya hati yang mampu menangis
Air mata mengalir mengadu pada Allah yang Maha Esa
Semoga mak sentiasa berada dalam reda-Nya

Kini kesihatan mak makin merosot,
Ingatan mak semakin layu,
Mak dah tak macam dulu,
Badan mak dah semakin lesu
Hanya kepada Allah tempat aku mengadu

Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada Ibuku
Permudahkanlah urusanku dalam berbakti pada Ibuku
Tabahkan lah hati ku Ya Allah dalam menempuhi takdir-Mu
Pasti ada hikmah di sebalik semua ini
Ujian-Mu bagi menguji keimanan hamba-Mu
Syukur pada-Mu Ya Allah
Kerana aku di pilih oleh Mu
Untuk berbakti pada Ibu ku
Hanya kepada-Mu lah Ya Allah,
Tempat aku mengadu...