Sunday, July 25, 2010

Ceramah Israk Mikraj oleh Ustaz Muhammad.

Jumaat 23, Julai 2010 - Alhamdulillah, hari ini aku berkesempatan untuk hadir kuliah maghrib yang diadakan oleh Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin yang diadakan di Dewan Solat Masjid Kinrara, Bandar Kinrara. Malam ini Ustaz Muhammad berceramah berkenaan dengan Isra dan Mikraj. Sepertimana yang diketahui umum, Ustaz Muhammad sering menggunakan sistem audio yang dapat menarik perhatian orang ramai.

Ditambah lagi dengan teknik ceramah beliau yang diselang-seli dengan adunan audio visual yang menarik dan isi kandungan ringkas serta padat.

Kuliah beliau dimulakan dengan menghuraikan tafsir ayat 1 dari surah al-Isra. Antara kandungan tafsiran tersebut ialah:

(Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku pada tahun ke-10 Hijri.)

1. "'abdihi" - bermaksud Hamba-Nya. Nabi Muhammad (S.A.W) diperjalankan (di-israk kan) dengan pangkat Hamba Allah yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah.

2. "lailan" - bermaksud malam. Baginda di-israk kan pada waktu malam adalah disebabkan untuk memelihara perkara-perkara yang ghaib.

3. Perjalanan baginda adalah dengan menaiki kenderaan "buraq" dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jurusalem, Palestin.

4. Diberkati pada malam tersebut dan sekelilingnya. Terutamanya di Masjidil Aqsa yang mempunyai keistimewaan yang diantaranya ialah:
  • Terdapat banyak maqam para anbiya Allah.
  • Tempat persemadian para syuhada hingga ke hari qiamat.
5. Semasa baginda di Mikraj kan, Allah memperlihatkan baginda dengan kekuasaan Allah. Baginda diperlihatkan dengan balasan baik dan buruk. Azab neraka dan nikmat syurga.

6. Baginda juga dipertemukan dengan para anbiya pilihan Allah di setiap lapisan langit (7 lapisan) yang baginda tempuhi.

7. Menerima watikah solat secara terus dari Allah Taala.

Ustaz Muhammad juga menerangkan berkaitan dengan pengalaman-pengalaman beliau semasa ziarah beliau di Masjid Al-Aqsa. Terutamanya tempat yang dikenali sebagai batu tergantung di mana Baginda di Mikraj kan. Untuk pengetahuan kita, Masjid Al-Aqsa telah dibina oleh Nabi Sulaiman Alaihissalaam.

Sebelum subuh, Nabi Muhammand (S.A.W) di hantar pulang kembali ke Makkah. Dan pada pagi tersebut, baginda menceritakan kisah Israk dan Mikraj tersebut pada penduduk Makkah. Terdapat 3 golongan yang datang mendengar :

  1. Musyrikin Makkah
  2. Ahli Kitab
  3. Muslimin Makkah
Musyrikin Makkah mencela Nabi Muhammad S.A.W sebagai penipu dan ahli sihir . Manakala para muslimin Makkah berasa amat sedih menyaksikan Nabi Muhammad diperlakukan oleh Musyrikin Makkah.

Pada mulanya ahli kitab meragui kebenaran peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Sehinggalah mereka mengemukakan soalan cabaran kepada Nabi Muhammad S.A.W mengenai Masjid Al-Aqsa. Kerana para ahli kitab amat biasa dengan Masjid Al-Aqsa. Dan Nabi Muhammad S.A.W menceritakan secara terperinci berkenaan masjid tersebut. Lalu mereka menangis mendengar kebenaran perkataan Nabi seraya beriman dan mengucapkan kalimah syahadah.

Akhir sekali, Ustaz Muhammad memperingatkan para hadirin agar sentiasa berselawat dan menyanjung tinggi perjuangan yang telah Baginda lakukan untuk kita semua dalam menyebarkan syiar Islam.

Ini lah antara isi kandungan ceramah Israk Mikraj yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad. Ceramah beliau amat tersusun dan teratur. Penyampaian yang jelas dan menusuk dalam hati nurani. Di sokong pula oleh aplikasi multimedia yang menyegarkan para hadirin sepanjang ceramah tersebut berlangsung.

Tahniah diucapkan kepada Ustaz Muhammad dan krew beliau. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada beliau dalam usaha beliau meninggikan martabat agama Islam yang maha benar ini. Sekian. Wassalam.