Wednesday, November 4, 2009

Kehidupan ini, untuk apa?

  1. Di zaman yang penuh mencabar ini, semua orang sibuk memikirkan macam mana nak jadi kaya? Macam mana nak jana kewangan? Macam mana nak hidup senang? Dan macam-macam lagi persoalan yang melibatkan duit.

  2. Ramai antara rakan-rakan kita yang dulu hidupnya biasa-biasa saja, kini dah pun hidup senang. Ramai juga yang bergelar jutawan. Pelbagai cara yang dilakukan oleh mereka-mereka ini untuk mencapai cita-cita mereka. Ada yang berniaga, ada yang menceburi MLM. Dan macam-macam lagi kaedah yang digunakan untuk menjana pendapatan.

  3. Kalau kita masuk ke kedai buku, banyak kita dapat lihat buku-buku yang menghuraikan tentang perkara ini. Dan penulisnya pula memang terkenal dan terbukti dengan pencapaian mereka. Buku-buku mereka ini juga banyak memberikan inspirasi kepada individu-individu yang ingin mengubah kehidupan mereka dari biasa kepada sang satria.

  4. Ada yang bersikap optimis dan ada yang pesimis. "Alaa... korang kaya dah la... Aku biar sederhana, tapi bahagia". "Diorang kaya duit je, tapi hati susah." "Dia tu kaya kejap je, tak lama lagi bankrap lah." Ini lah antara cakap-cakap orang yang pesimis.

    Bagi yang optimis pulak, "Kesian la kat diorang nih, apsal diorang tak nak ubah kehidupan diorang?".

  5. Kita tentu pernah dengar "Orang yang berjaya, sentiasa cari jalan. Orang gagal sentiasa cari alasan". Banyak dalam buku-buku motivasi menggunakan pendekatan ini untuk memantapkan hujah-hujah mereka.

  6. Orang yang rajin tentu akan berjaya? Insya Allah. Ramai juga orang yang rajin, tetapi gagal dalam hidup mereka. Kerana pendekatan ataupun cara mereka mungkin tidak bertepatan dengan strategi mereka. Sebagai orang islam, kita wajib mengimani qada dan qadar , usaha serta tawakkal.

  7. Yang malas akan rugi? Biasanya begitu.

  8. Tiada jalan singkat untuk berjaya? Sebenarnya ada, asalkan bertepatan strategi dan cara-caranya. Dan juga sentiasa berada di dalam keredhaan Allah.

  9. Apa yang paling penting, hidup kita ini mesti ada hala-tuju yang jelas. Ada objektif dan tindakan yang boleh diukur hasilnya. Barulah kita boleh mengukur sejauh manakah pencapaian kita. Persekitaran juga banyak mempengaruhi tindakan-tindakan dan perancangan yang kita buat.

  10. Perancangan yang kemas, kukuh dan dinamik amat penting kerana perancangan yang kita buat tidak akan semestinya akan memberikan apa yang kita harapkan. Kadangkala kita perlu untuk menukar ke plan B, C dan sebagainya. Tetapi objektifnya tetap akan sama.

  11. Apa-apa yang kita lakukan, sentiasalah berfikiran optimis dan semoga kita berada dalam keredhaan-Nya. Hidup kita takkan berakhir sekadar di atas dunia. Tetapi akan berkesinambungan kesannya hingga ke hari akhirat.

Monday, November 2, 2009

Sejarah pasti berulang...

Sejarah pasti berulang... itulah yg berlaku pada Dr Mohd Asri. Sepertimana ulama-ulama besar yang terdahulu. Seringkali mereka ini difitnah, dipenjarakan dan dikecam semata-mata kerana mereka ini membawa bentuk pemikiran yang tidak disenangi oleh agen-agen politik yang memiliki kuasa pemerintahan.

Hari ini, 2 Nov 2009, Dr Mohd Asri telah diperintahkan untuk hadir di mahkamah untuk diperdengarkan pertuduhan ke atas beliau kerana mengadakan kuliah tanpa memiliki tauliah yg sah dari kerajaan negeri selangor. Ini adalah rentetan dari peristiwa semalam apabila beliau telah ditahan dan diambil keterangan oleh pihak JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor).

Apa nak jadi dengan puak-puak politik nih? Di ambang kita sebagai negara islam hendak menuju misi mengembalikan kegemilangan islam di dunia, ada pihak-pihak yang barangkali mungkin agak tersekat agenda mereka hanya kerana terdapat segelintir hamba Allah yang mahu menegakkan kebenaran dalam islam.

Perselisihan kononnya wujudnya kaum tua dan kaum muda sudah lama diperkatakan. Hatta, Prof Hamka pun suatu masa dahulu pernah dilabelkan sebagai kaum muda dan berpahaman wahabi.

Alasan yang sering kita dengar ialah kerana pahaman wahabi ini akan memecahbelahkan umat islam di negara ini. Lebih berat lagi ada yang begitu mudah mengatakan wahabi ini sesat.

Sama keadaannya seperti yang berlaku diantara PAS dan UMNO. Saling kafir mengkafirkan antara satu sama lain. Atas alasan perbezaan ideologi dan pendapat. Keempat-empat mazhab yang muktabar pun tidak ada kafir-mengkafirkan atau sesat-menyesatkan antara satu dengan yang lain. Walaupun banyak perbezaan pendapat diantara mereka. Namun pendapat-pendapat mereka sering dijadikan hujah apabila hendak menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam dunia islam.

Wahabi ini pahaman baru? Dari manakah sumber-sumber ilmu yang dijadikan sandaran untuk mereka berhujah sehingga dilabelkan sesat. Ada yang lebih berat lagi melabelkan mereka sebagai terkeluar dari ahlu-sunnah-wal-jamaah. Adakah mereka ini mengutarakan hadis-hadis baru yang bukannya dari Rasulullah? Adakah mereka ini mengada-adakan sunnah baru selain dari sunnah Rasulullah? Adakah mereka ini mengambil nukilan-nukilan ilmu yang bukan dari empat mazhab yang muktabar?

Gerakkanlah minda dan usaha kita untuk menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan tadi. Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah dalam menjalani liku-liku kehidupan sebagai hamba Allah yang diredhai-Nya.